Waktu mencorak

Standard

Buka mata terus merengek menangis. Entah apa masalah pula pagi ini. Rutin harian sama, masa saja berbeza.

Salim terus berlari anak menaiki tangga rumahnya. Kepalanya memandang pintu bilik yang sedikit terbuka. Dia menolak sedikit pintu dan menjenguk kepala.

“Kenapa tu Mira, jom siap abah dah lambat ni”, kata Salim sambil membetulkan jam di pergelangan tangan.

Mira hanya terdiam dengan genangan air mata meleleh di pipi, perlahan dia melunjur kaki di bucu katil. Cuba untuk turun kaki mencecah lantai. Dia berjalan perlahan menuju pintu.

“Nak ibu!”, kata Mira.

“Ibu tengah siap tu, abah mandikan jom. Mana tuala? Haa cari cepat”, balas Salim mencangkung di hadapan Mira.

Mira hanya menunjukkan jarinya di ampaian tuala. Salim hanya tersenyum.

“Mana Mira dah siap ke tu dua beranak ni? Ibu dah lambat la”, jauh kedengaran suara Fiza di tingkat bawah.

“Yeer kejap, siapkan Mira!”, balas Salim.

Kedua mereka bekerja membuatkan tugas rumah dikongsi bersama. Tiada yang berbeza di rumah kecuali beban di tempat kerja berbeza.

“Nak susu…”, kata Mira perlahan. Sambil Salim menyisirkan rambut Mira selepas selesai mandi dan pakaikan baju.

Kalau bukan ibu, yang dicarinya susu. Salim terus mengikat kemas rambut anak gadis kecilnya yang baru berusia 2 tahun itu.

“Jom turun, dah wangi la Mira. Kita pergi sekolah, nanti Mira minum susu kotak dekat bawah ya”, kata Salim. Mira hanya tersengih, seronok bakal berjumpa cikgu dan kawan-kawan kecilnya.

“Saya gerak dulu ya, ada meeting pagi ni dengan pengarah. Nanti terlambat pula”, kata Fiza sambil bersalam dengan Salim.

“Baik, drive tu elok-elok. Jangan laju, jalan licin hujan pagi tadi”, ujar Salim sambil mencium dahi isterinya. Fiza tersenyum manis dan terus keluar menuju kereta.

Di tepi pintu sudah tersiap, tersusun rapi bag dan kasut anaknya yang disediakan Fiza.

Salim terus naik ke bilik, mencari kad akses pejabatnya dan terus ke bawah menuju meja makan. Mira tersengih sambil menyedut susu kotak kecil di tepi kerusi. Tangannya perlahan-lahan menepuk kerusi sambil memandang Salim.

“Sedap ke tu? Abah nak sikit boleh?”, usik Salim. Mira hanya menggeleng kepala sambil memegang straw.

“Abah dah siap, jom kita gerak”, sambung Salim.

“Ok”, balas Mira sambil mencari tong sampah besi di dapur.

Di dalam kereta, selepas meletakkan Mira di dalam kerusi kereta khas; Salim terus ke taska berdekatan rumahnya.

Sampai sahaja di depan pintu, Salim mengeluarkan telefon bimbitnya dan membuka aplikasi MySejahtera untuk mengimbas QR Code di pintu sebelum menaiki tangga taska.

“Bye-bye Mira, nanti abah ambil ya petang nanti”, kata Salim kepada Mira yang sudah didukung cikgunya.

Mira hanya tersengih menampakkan giginya dan terus berpusing melihat telatah kawan-kawanya yang sudah ada di dalam taska. Salim tersenyum dan terus menuruni tangga menuju ke keretanya.

Kebiasaannya begitulah setiap pagi.

Mencari yang terbaik untuk anak adalah impian mereka.

Masa hanyalah waktu.

Yang mudah jangan disukarkan

Standard

Pernah tak hidup ini rasa macam mudah tapi entah mana dosa kita yang membuatkan hidup ini seperti hilang kawalan.

Hilang keberkatan hidupkah atau ketiadaan doa mak ayah abang adik sahabat dan taulan. Kita pun mendoakan mereka tak?

Paling mudah nak buat tapi tekanan tinggi adalah “buat keputusan”. Macam mudah tapi impak kuat jika terbabas; walaupun jalan masih betul.

Belum buat keputusan?; disoal dan diseret supaya diputuskan.

Sudah buat keputusan?; diserba-salahkan atas tiada perbincangan.

Menukar keputusan selepas digoncang?; huh! dasar tiada pegangan.

Jalan masih sama, masanya saja berbeza.

Ah sudah…tbsaortbs positif saja.

Kehidupan bersama kopi

Standard

Angin agak kencang malam ini. Hujan renyai sedikit membasahi lantai beranda rumahnya.
Ali masih lagi berdiri sedikit bongkok melihat pokok bergoyang.
Tangan kanannya tak lepas dari gelas kopi panas.
Dihirupnya perlahan-lahan; panas.

Sudah seminggu dia mengulangi rutin hariannya.
Bangun pagi, menempuh trafik pergi ke pejabat, melayani kerja dan karenah manusia, tepat jam 5 atau kadangkala lewat juga terus saja pulang; sekali lagi tersangkut dalam trafik panjang.
Pulang saja matahari sudah tenggelam kebiasaannya. Keluar pagi masih gelap, balik gelap seperti sama.
Masak dan makan apa yang ada di dapur. Jika tiada, ah persetankan saja nanti hujung minggu keluar ke kedai beli keperluan.
Dan rutinnya sama saja tiap masa.

Esoknya Ali bangun pagi seperi biasa. Air pula tiada, dia terlupa notis yang dibacanya seminggu lepas. Aduh!
Terus dia gosok gigi menggunakan sedikit air takungan yang ada dan bersiap ke pejabat.
Sama seperti hari-hari biasa tetapi Ali terlupa lagi. Telefonnya tertinggal di bilik.
Gusarnya pagi itu bukan main. Telefon seperti nyawa dan juga kerjanya.

Dia bangun lemah dari tempat duduk terus ke pantri. Pagi ini kopi pekat dibancuhnya. Keliru.
Duduk kembali di kerusi, bersandar perlahan.
Kopi berasap halus, aroma memenuhi setiap dimensi bilik Ali.
Seperti dirinya yang melayang.
Tanpa lain orang.
Dia mulai terasa seperti sedikit tenang.

Ditemani kopi sahaja pagi itu.

Hikayat Pakcik Mail

Standard

Cuaca petang itu macam kebiasaan. Tidak terlalu panas, tidak terlalu sejuk. Hanya angin sepoi menyejukkan badan Amran yang berpeluh kepenatan. Satu kebun telah dikerjakan semak-samunnya.

“Berapa hari kau cuti ni Amran”, tegur pakcik Mail sambil membawa kopi yang dipesan.

“Kejap je pakcik, minggu depan balik la Lendu semula”, balas Amran sambil menyedut lama rokok di bibir.

Dihembuskan asap; perlahan-lahan.

“Pakcik ada satu cerita ni, kau nak dengar tak?”, soal pakcik Mail dan terus menarik kerusi duduk semeja.

“Boleh je, ada jugak teman berborak”, balas Amran tersengih.

“Kau tahu tak, nanti di Padang Mahsyar; tempat kita kumpul ramai-ramai tu, ada la sorang mamat ni dia jalan kehulu-hilir. Kau tahu apa dia buat?”, tanya pakcik Mail

“Eh mana la saya tahu, apa dia buat?”, kerut dahi Amran membalas soalan

“Haaa dia tu sibuk cari api nak nyalakan rokok, dah satu hari dia pegang rokok tak dicucuhnya”, jawab pakcik Mail

“Apa gila pakcik ni, mana ada orang hisap rokok kat sana. Semua sibuk fikir amalan masing-masing”, getus hati Amran sambil menghirup perlahan kopi panas.

Sambung pakcik lagi, “Lepas tu dia ada la jumpa sorang minah ni kan, dia pun tanya laaa ada api tak, dia nak cucuh rokok ni haa, sangap teruk!. Minah ni pun suruh ikut dia cari api. Dia pun ikut la sampai ke satu tempat. Dia kata ni haa..api neraka, cucuh la rokok tu”

“Camtu la kau nanti Amran, hisap rokok banyak sangat, situ je la tempat kau nanti; neraka!”, tambah pakcik Mail.

Menyembur kopi panas Amran pada petang itu.

Mengalir air mata, menahan kepedihan panasnya kopi.

So-sial media

Standard

Aku seperti rindu masa dahulu.

Waktu kita berhubung melalui SMS.

Waktu kita buat panggilan kurang dari seminit sebab nak jimat kredit.

Waktu kita keluar rumah tinggalkan internet.

Waktu kita bersosial tanpa telco data.

Waktu kita tanpa sosial media yang menggila.

Waktu kita jadi diri sendiri berkata-kata.

Waktu kita tak ada facebook dan twitter.

Hari ini ramai manusia yang berkata tanpa menjadi diri, berselindung di balik media.