Waktu mencorak

Standard

Buka mata terus merengek menangis. Entah apa masalah pula pagi ini. Rutin harian sama, masa saja berbeza.

Salim terus berlari anak menaiki tangga rumahnya. Kepalanya memandang pintu bilik yang sedikit terbuka. Dia menolak sedikit pintu dan menjenguk kepala.

“Kenapa tu Mira, jom siap abah dah lambat ni”, kata Salim sambil membetulkan jam di pergelangan tangan.

Mira hanya terdiam dengan genangan air mata meleleh di pipi, perlahan dia melunjur kaki di bucu katil. Cuba untuk turun kaki mencecah lantai. Dia berjalan perlahan menuju pintu.

“Nak ibu!”, kata Mira.

“Ibu tengah siap tu, abah mandikan jom. Mana tuala? Haa cari cepat”, balas Salim mencangkung di hadapan Mira.

Mira hanya menunjukkan jarinya di ampaian tuala. Salim hanya tersenyum.

“Mana Mira dah siap ke tu dua beranak ni? Ibu dah lambat la”, jauh kedengaran suara Fiza di tingkat bawah.

“Yeer kejap, siapkan Mira!”, balas Salim.

Kedua mereka bekerja membuatkan tugas rumah dikongsi bersama. Tiada yang berbeza di rumah kecuali beban di tempat kerja berbeza.

“Nak susu…”, kata Mira perlahan. Sambil Salim menyisirkan rambut Mira selepas selesai mandi dan pakaikan baju.

Kalau bukan ibu, yang dicarinya susu. Salim terus mengikat kemas rambut anak gadis kecilnya yang baru berusia 2 tahun itu.

“Jom turun, dah wangi la Mira. Kita pergi sekolah, nanti Mira minum susu kotak dekat bawah ya”, kata Salim. Mira hanya tersengih, seronok bakal berjumpa cikgu dan kawan-kawan kecilnya.

“Saya gerak dulu ya, ada meeting pagi ni dengan pengarah. Nanti terlambat pula”, kata Fiza sambil bersalam dengan Salim.

“Baik, drive tu elok-elok. Jangan laju, jalan licin hujan pagi tadi”, ujar Salim sambil mencium dahi isterinya. Fiza tersenyum manis dan terus keluar menuju kereta.

Di tepi pintu sudah tersiap, tersusun rapi bag dan kasut anaknya yang disediakan Fiza.

Salim terus naik ke bilik, mencari kad akses pejabatnya dan terus ke bawah menuju meja makan. Mira tersengih sambil menyedut susu kotak kecil di tepi kerusi. Tangannya perlahan-lahan menepuk kerusi sambil memandang Salim.

“Sedap ke tu? Abah nak sikit boleh?”, usik Salim. Mira hanya menggeleng kepala sambil memegang straw.

“Abah dah siap, jom kita gerak”, sambung Salim.

“Ok”, balas Mira sambil mencari tong sampah besi di dapur.

Di dalam kereta, selepas meletakkan Mira di dalam kerusi kereta khas; Salim terus ke taska berdekatan rumahnya.

Sampai sahaja di depan pintu, Salim mengeluarkan telefon bimbitnya dan membuka aplikasi MySejahtera untuk mengimbas QR Code di pintu sebelum menaiki tangga taska.

“Bye-bye Mira, nanti abah ambil ya petang nanti”, kata Salim kepada Mira yang sudah didukung cikgunya.

Mira hanya tersengih menampakkan giginya dan terus berpusing melihat telatah kawan-kawanya yang sudah ada di dalam taska. Salim tersenyum dan terus menuruni tangga menuju ke keretanya.

Kebiasaannya begitulah setiap pagi.

Mencari yang terbaik untuk anak adalah impian mereka.

Masa hanyalah waktu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *