Libasan kabel monitor

Standard

Bila terbaca berita pasal isu saman menyaman antara ibu bapa dengan guru pendidik ni, aku tertanya. Apa fungsi seorang guru kalau langsung si anak tak boleh disentuh?

cikgu

Teringat masa dulu zaman sekolah; dalam makmal komputer. Cikgu Fauzi namanya, garang kemain. Mengajar sambil genggam kabel monitor. Suaranya tinggi, garaunya kasar, kepalanya sedikit licin, tingginya sedikit kurang – tetapi tegasnya tetap kami pandang. Pantang lihat ada pelajar yang menyembang, dijerkahnya terus berjalan melibas kabel di badan. Menggeliat badan menahan pedih. Itu baru pengajaran buat badan. Tak pernah pula disaman.

Memang zaman tu balik mengadu pun kena ‘padan muka’ dengan ibu bapa lagi. Apalah sangat ditampar kepala dengan Cikgu Fauzi, kerap sangat. Pernah juga didenda berjalan gaya itik keliling makmal. Lemah longlai lutut bila bangun. Rasa nak tercabut semua ada. Tiap kali masa makmal komputer, hati jadi gementar. Bersedia segala kemungkinan. Niat nak ponteng pun berlalu pergi. Itu baru gaya cikgu mendidik. Kami hormat sampai sekarang. Tak pernah simpan dendam. Bukannya marah tak bertempat, bila berjumpa di luar; senyumannya manis, percakapannya serupa bapa yang kasih akan anak-anaknya. Tunduk salam cium tangan tanda hormat.

Tak kurang juga cikgu-cikgu lain.

Ada yang didenda berlari keliling padang 5-10 pusingan.

Ada yang disuruh berdiri tepi tiang gol sampai habis waktu kelas.

Ada yang disuruh berdiri luar kelas; berdiri atas meja.

Ada yang disebat dengan pembaris kuning satu meter.

Ada yang dilempar pemadam papan hitam.

Merah mata, mengalir air. Sekarang alhamdulillah semunya menjadi manusia walaupun berlainan perjuangan.

Zaman sekarang pantang dicuit melambung gansternya. Dipukul pula juga, disokong pula keluarga. Besarnya jadi apa tanpa bimbingan yang betul?

 

 

Keychain gua pun tak makan McD

Standard

Kisah bermula dengan dua makhluk tidak dikenali asal-usul telah ditawan oleh P1 Tower yang menyedihkan. Setelah berabad lamanya dipaku di menara; akhirnya mereka berjaya melarikan diri selepas paku itu patah akibat pengkaratan yang maksimum. Mereka terjatuh dari menara dengan kalajuan cahaya.

Nasib si Vodoo bermata hijau baik kerana terjatuh di dalam sebuah rumah kosong; manakala si Penyamun tidak mendapat apa-apa. Setelah persetujuan dicapai, mereka bersepakat untuk tinggal sekali tetapi Vodoo di dalam dan Penyamun di luar. Vodoo yang matanya melihat kiri dan kanan serentak hanya mampu tinggal di dalam sementara Penyamun yang bersenjatakan M15 besi anti-karat bersemangat kental menjaga keselamatan mereka dari anasir jahat P1 Tower.

Mereka berpindah ke satu kawasan lapang kebiruan, jauh dari kebisingan speaker bingit. Di sini tempatnya aman dan damai. Hanya ada manusia berseluar dalam merah di belakang sedang bermain iPad tanpa peduli kehadiran mereka.

Tetapi hidup tak selalunya indah, langit tak selalu cerah. Si Penyamun tanpa disedari telah menyelinap ke kiri rumah Vodoo dan menembaknya. Maka tamatlah kisah mereka berdua si keychain tak bernyawa tanpa sempat membuat pesanan burger prosperity.

The end.

 

Masakan air tangan mamak

Standard

Dua tiga hari lepas aku lepak kedai mamak yang agak popular dalam kalangan pelajar UPM. Burger bakar dekat kaki lima tu pun boleh tahan. Sampai saja, ada meja kosong betul-betul berhadapan tempat masak. Malam tu Malaysia lawan Singapura,  Piala AFC Suzuki kot.

Kedai tu memang ramai sangat, tak menang tangan tengok mamak nak layan. Aku tak sure mamak pure atau bangla atau indon mix atau pendatang dari negara jiran. Yang sedang menggoreng aku nampak macam orang indon.

Order kami sampai dalam masa 18minit. Aku minum saja. Aku nampak sebelum dia hantar nasi goreng dekat meja,  dia ada ambil roti canai dalam bekas; tak tahu kurun keberapa. Dia panaskan balik dan hidang dekat kawan sebelah aku. Pesannya tadi minta buatkan garing; memang tak dapat la.

Aku tengok yang tukang goreng tengah sibuk potong sayur. Tak pasti dia sedar atau malas layan tapi ada sebatang sayur(aku tak pasti;mungkin salad)  jatuh dekat lantai. Dia tak angkat. Ada sorang mamak datang bagi order, nampak sayur tu kemudian angkat letak balik atas tempat potong.

Ok. Sebelum dia angkat tu aku nampak dekat 3 4 kaki dah sepak, pijak sayur tu. Niat aku nak tapau mee goreng memang terbantut terus walaupun lapar la juga. Nampak pula dia pegang telur mata, macam genggam dan terus letak dalam pinggan. Lepas tu lap tangan dekat seluar dan teruskan menggoreng. Haha.

Yang mamak sebelah ni pegang ais pakai tangan, tadah buang air pastu letak air kosong. Wooh! Aku 100% percaya tangan tu dah bermacam dia pegang dari mula kerja awal pagi. Nak nampak basuh tangan memang tak la.

Tangan berminyak bagai, berlendir peluh. Aku rasa mungkin tu resepi
terhebat kenapa orang suka lepak kedai mamak. Kalau garu bontot, garu hidung, korek telinga? Kalau basuh tangan ok la, kalau takat lap kat seluar je? Woooh!

Tu yang aku nampak, yang aku tak nampak wallahualam. Harap-harap yang semalam tu tak berulang dah.

Tapi nasi lemak telur mata dia sedap. Lawan cucuk telur kuning orang sebelah!

Samsung bayar $1B kepada Apple pakai syiling 5sen?

Standard

Orang kata Twitter ni macam peti sejuk, kita masih buka tutup juga kalau dah bosan sangat. Tengok-tengok mana la tahu ada benda best. Slide-slide bawah, aku terperasan 2 3 orang yang retweet pasal Samsung bayar saman pakai duit siling 5sen sebanyak 1.05billion. Tadi pula aku ada tengok manusia-manusia yang rasa sangat ‘up-to-date’ komen sana sini dekat FB pasal benda alah ni.

Translate BM: Mengikut cerita, 30 trak yang mengandungi sebanyak $1billion(dalam bentuk 5sen) dihantar ke pejabat utama Apple di California pada pagi waktu kejadian tapi dihalang oleh pakgad. Bagaimanapun. CEO Apple, Tim Cook dapat satu panggilan dari CEO Samsung untuk maklumkan pasal trak tersebut yang mengandui sejumlah bayaran saman yang dikenakan juri.

Seriously? Haha.

Bermulanya cerita palsu ni yang aku perasan dalam web 9gag. Tak tahu samada repost dari web lain. Tapi aku dah google info pasal ni dua tiga hari selepasnya nak pastikan berita ni dan ternyata palsu. Kurang pasti kenapa ramai lagi yang suka percaya bulat-bulat benda dalam internet ni dan main sebarkan tanpa buat selidik dulu. Bangga rasa up-to-date? Tolong masuk Google dan rajinkan diri search maklumat tu benar atau palsu. Pemalas betul.

http://www.phonearena.com/news/No-Samsung-did-not-pay-Apple-1-billion-in-five-cent-coins_id33819
http://www.gizmodo.com.au/2012/08/no-samsung-did-not-pay-the-apple-patent-penalty-in-five-cent-coins/

Aku rasa berita ni paling troll setakat ni. Kalau Samsung realisasikan idea troll ni lagi bagus.
Bak kata Abraham Lincoln – “Don’t believe every quote you see on the Internet.”

Oh satu lagi, Samsung tu guna Android, tapi Android tu bukan Samsung. Tolong jangan jadi pahlawan internet yang bangang.

Sebangsa kau laungkan?

Standard

Tidak tenang dia duduk. Bersandar seketika, menyalakan sebatang rokok. Mukanya penuh kelat, perit memikirkan apa yang harus dilakukan. Beralih sedikit punggungnya membetulkan kedudukan; kebas agaknya. Hari itu lebih teruk dari semalamnya. Hutangnya yang banyak perlu dijelaskan. Dia terduduk, kusut memikirkan segala kemungkinan yang akan berlaku. Risau.

Chandran penduduk kampung itu tetapi di pinggir kampung terletak rumahnya. Kampung majoritinya penduduk Melayu. Rumah lama warisan moyangnya turun temurun hingga kepadanya waris terakhir. Ibunya terlantar lemah, mata berkedip-kedip melihat Chandran. Mata itu lah yang memerhatikan dirinya membesar. Mata yang melihat suapan nasi masuk ke mulutnya. Mata yang melihat gred peperiksaannya yang teruk. Mata yang pedih menangis akibat perbuatannya. Sekarang mata itu hanya mampu melihat zink buruk; atap rumah mereka.

“Chandran, masuklah nak,tadak apa nak dibuat di luar gelap tu…”, bersuara ibunya sayu.
“Takpalah bu, nanti abang masuk. Saja ambil angin luar ni, ibu tidurlah dulu yer”, balas Chandran; tersenyum kelat.

Sudah sebulan ibunya terlantar sakit tua, sudah sebulan juga simpanan mereka berkurangan. Upah kait kelapa berapa sangat sehari yang dapat dia kumpul, kecil nilainya zaman kini.

Chandran bangun dan terus masuk, ditutup dan dikuncinya pintu rumah mereka. Terasa bergegar rumah usang itu, seperti hendak roboh. Dia berjalan lemah ke penjuru laman, menghamparkan kain sebagai alas untuk tidur. Chandran menarik nafas dan menghembus lemah sambil menutup mata. Malam itu terasa panjang baginya.

Pagi itu, tika orang lain sibuk keluar mencari rezeki, Chandran ditemui mati tergantung di ruang tamu rumahnya; ibunya mati dikelar. Bau darah pekat yang mengalir menusuk hidung penduduk kampung.