Joko Pak Suru

Standard

Lebat hujan malam tadi. Hampir ke buku lali air sungai melimpah ke depan rumahnya. Termenung sebentar Joko di tangga. Tergaru-garu sambil menampar nyamuk di peha. Biadap, getus hatinya. Di belakangnya masih tidur keluarganya, sejuk begini memang enak membuta.

Dia turun perlahan, meredah terus air. Di tangan tergenggam sumpit pemberian moyangnya. Menyumpit lotong memang hobinya tiap pagi. Tak perlu beramai-ramai, cukup seorang dua memburu. Tapi pagi ini dia keseorangan.

Matahari tegak terpacak di kepala Joko. Panas terik. Dia mengesat peluh. Meraup mukanya. Menahan pedih bahang matahari. Berjalan terus Joko mencari tempat berteduh. Lima ekor lotong rasanya sudah cukup untuk makan malam. Mesti keluarganya gembira. Joko tersengih sendirian.

Menyusuri denai sungai, terus ke batu besar. Lotong diletakkan dan dia terus bergegas menuju ke sungai. Membasahi badan. Seusai mandi, Joko bersandar pada batu besar, terasa berat kepalanya. Letih satu badan. Joko memejam mata.

Paaap! Joko menampar nyamuk di pipi. Kurang ajar. Dia buka mata, gelap.

“Aduh, sudah malam”, bisik hatinya

Joko membetulkan badan, mencari posisi selesa untuk baring. Terus matanya menghadap langit nan terbentang luas. Penuh dengan bintang-bintang berkedipan. Indah betul pada malam ini. Dia menarik nafas dalam dan menghembuskan perlahan-lahan. Mata Joko tak lepas memandang langit. Nafasnya ditarik lagi perlahan dan dalam. Dihembuskan dengan penuh persoalan.

Persoalan yang telah lama dia fikirkan.

“Kenapa kita hidup di dunia ni ayah? Siapa yang letak kita di sini? Mengapa?”, soal Joko pada ayahnya pada suatu petang.

“Ahh kau ni soalan sama saja, pergi tolong abang kau cari kayu sana”, balas Pak Suru.

Teringatkan situasi itu, Joko hanya mampu tersenyum kelat.

Telah empat purnama persoalan itu berputar dalam kepalanya. Melihat keluarganya menyembah pokok besar, bulan, dan matahari membuatnya lagi berfikir.

Kenapa pokok? Sampai satu masa reput batangnya.

Kenapa matahari? Bila malam hilang teriknya.

Kenapa bulan? Datang siang, hilang serinya.

Joko menarik nafas kembali. Matanya tertutup rapat. Dia pasti dan yakin, ada sesuatu yang menciptakan dan menjadikan semuanya.

Joko tersenyum dalam gelap. Menggenggam kedua tangannya.

Tiada lagi bunyi hembusan nafas di malam nan sunyi.

Hanya kedengaran desiran angin di malam hari.

 

Pengemis jalanan

Standard

Kekadang kita nak bagi sebab kesian,

Tapi bila kita bagi duit, kira ada “supply” maka “bisness” dia akan selalu ada , benda ni akan berlanjutan.

Tapi memang lagi susah nak buang rasa “kesian” orang jadi benda ni memang susah nak banteras.

Aku ada baca artikel, kalau pengemis yang bawak anak kecik, atas pangku, baby tu akan sentiasa diam. – sebab kena sedative/drug. Dan dan dan, paling celaka sekali sebenarnya baby tu pun bukan anak dia pun. Tak semua lah, aku cakap pasal sindiket. Guna orang yang tak bernasib baik untuk kepentingan sendiri.

Jadi bila aku fikir kalau aku kesian nak bagi, keraskan hati yang kalau aku bagi, benda ni akan berterusan, aku akan menyumbang kepada kejahanaman masyarakat. Stop bagi, depa akan stop jugak. depa akan cari benda lain nak buat, at least tak guna baby-baby,budak-budak yang tak tahu apa.

Kalau betul nak tolong, tanya rumah, siapa bela, jumpa penjaga. Check betul2, pastikan bukan sindiket. (memang org tak da time lah,dah jumpa pun tepi jalan). Bantu keluarga tu dari segi ekonomi, makanan, pakaian, sekolahkan anak-anak, bagi education. Bukan suruh abaikan sekolah dan mintak sedekah. Macam mana nak habis camtu.

“Selamanya layu ditipu”

Entri ni copy paste komen dari bini aku.

Kehidupan normal dinafikan

Kita semuanya manusia

Standard

Terkadang aku terfikir kenapa kita (kebanyakkan) suka mempamerkan kebahagian yang kita ada, kekayaan yang kita miliki, kesempurnaan yang kita rasakan, dan segala keseronokkan yang kita alami.

Kita pamerkan semuanya bahagian yang menarik sahaja.

Sisi yang cukup indah, kita tontonkan pada orang ramai.

Kenapa kita tidak saja bersujud bersyukur kepada Maha Memberi. Ucapkan saja syukur itu pada Sang Pencipta.

Dan kita nikmatinya semuanya dengan memberi pertolongan pada yang lain lebih memerlukan.

Pamerkan kesusahan orang lain, agar kita tidak senantiasa alpa;

Bahawa kita bukannya hidup di dunia seorang saja.

Dan tiada yang kekal selamanya.

Dan akan ada orang berkata, ini hanya buat tontonan buat kenangan saja, kebaikkan yang dilakukan tak perlu diheboh.

Ya, aku mengerti. Kerana aku juga kadang-kala seperti mereka.

Kita semuanya terkadang sama.

Kita semuanya manusia.

Awan Gelap #3

Standard

Petang itu dia bergegas pulang selepas menerima panggilan dari rumah. Khabar kematian menggusar hatinya. Jalan pulang terasa kosong walau berpusu kereta di kiri dan kanan.

“Abang, kucing kita mati depan rumah.”, tangis si isteri.

Allah, terkedu Amir. Mengusap perlahan pipinya.

“Saya dah minta Pak Abu tanamkan di seberang jalan sana”, tambah isterinya. Amir mengangguk perlahan sambil mengalih pandangannya pada tukang kebunnya yang sedang menyiram halaman.

“Tak apalah, sudah ajalnya, sabar sayang.”, balas Amir perlahan sambil memimpin isterinya masuk ke dalam rumah.

Amir duduk bersandar di atas sofa, memegang secawan kopi. Menghirup perlahan, panas. Kucing kesayangan isterinya kini dah tiada. 

Kelihatan sugul wajah isterinya di dapur. 

“Dua sudah tiada, hanya tinggal lagi tiga”, bisik hati Amir.

Dia tersenyum kecil sambil menatap potret arwah ayahnya di dinding. 

-tamat-

Awan Gelap #2

Standard

Amir terus bangun, berjalan ke cermin melihat kembali KLCC tersergam ciptaan manusia.

Selama 10 tahun bekerja di Kuala Lumpur, tak ada jawapan sempurnya di hatinya untuk apa manusia berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit. Demi peluang kerja untuk rakyat atau sekadar kebanggaan negara tetapi isinya syarikat asing yang berkuasa. Dia memikirkan keluarga dan masyarakat kampung asalnya, tak perlu bangunan setinggi awan, cukup sawah padi seluasnya untuk menyara hidup mereka. Hidup dalam keadaan sederhana tanpa gangguan sesiapa.

Tapi dia sudah di Kuala Lumpur, hasil memberontak mahu keluar dari kampung, mahu mengejar kekayaan untuk ubah hidup keluarga. Lari dari kampung halaman selepas bergaduh besar dengan ayahnya.

“Kau jangan balik sini selagi kau tak berjaya dekat bandar syurga manusia yang kau agungkan tu” tempik ayahnya.

Terpejam Amir terbayang amarah orang tua itu. Terasa seperti baru semalam terjadi. 

Nada dering telefonnya berbunyi kuat. 

Amir tersentak.

Bersambung…