Awan gelap #1

Standard

Amir duduk bersandar pada kerusi, menghirup kopi panas yang dibuat pembantunya 5 minit lepas. Satu teko, satu cawan untuknya seorang. Tidurnya kerap terganggu seminggu dua ini. Tak lena memikirkan kekosongan apa lagi dalam hidupnya.

Isterinya sudah cukup sempurna. Anak-anaknya comel belaka. Bank akaun tak pernah dilihat bakinya. ASB, Tabung Hajinya satu dua tiga. Orang zaman ini kata memang kehidupan sempurna. Amir hanya mampu tersenyum kecil bila ada orang lain membandingkan diri mereka dengan dia. Mereka tidak faham, getus hatinya.. Terasa ada sesuatu. Sesuatu yang buat tidur malam-malam tak lena.

Anak mata Amir tak berkelip memandang KLCC tersergam indah di hadapannya. Impiannya sejak remaja untuk mencari rezeki di lubuk Kuala Lumpur. Dia memusingkan kerusi kembali ke menghadap meja, memandang gambar potret kecil keluarganya. Tersenyum kecil mengenang telatah manja anak-anak kecilnya. Terasa rindu kepada isterinya.

Amir menyelak kertas-kertas kerja yang dihantar staf pejabatnya. Satu demi satu sambil menghirup kopi. Barisan demi barisan dibaca, mengangguk kecil tanda setuju dengan hasil kerja staf.

Jarum jam di dinding tepat pukul 2 petang. Amir bangun dari kerusi terus ke sofa. Duduk melunjur kaki, membuka facebook, twitter, instagram, pinterest, apa saja app yang ada. Dia mengeluh, bosan. Bosan dengan kehidupan yang dilaluinya. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba untuk memikirkan kekosongan apa lagi dalam hatinya. Namun hampa.

Amir terus bangun, berjalan ke cermin melihat kembali KLCC tersergam ciptaan manusia.

Bersambung…

 

 

Terakhir

Standard

Kami semua maklum tuan kurang sihat sejak tahun lepas lagi. Selasa lalu pukul 3 pagi tuan pergi hospital, ditahan di ICU.

Kami pergi tengok tuan keesokkan harinya, lemah tak bermaya aku tengok dari jauh. Kami tolak pintu dan masuk berjalan ke katil tuan.

Aku salam. Tuan tersenyum, borak seperti biasa walaupun nampak agak lemah baring tak bermaya.

 

Lepas tu tuan sambung menyakat dan sambung berbual pasal kesihatan dengan GM kita. Kami balik lepas tu.

Pagi tadi, hari ini kami pergi melawat tapi doctor tak bagi masuk, tengah jalankan prosedur, lama katanya. Kami tengok dari tingkap saja kemudian kami balik.

Tengahari tadi usai solat Jumaat, di kedai makan whatsapp berbunyi,

“MD dah tiada, innalillah”

Allah, tergamam aku. Terus kami bergerak ke hospital. Sampai saja jenazah dah ditolak keluar untuk mandi dan solat.

Makin petang makin ramai staf datang menziarah. Mandi selesai, solat selesai. Van jenazah bergerak ke rumah keluarganya untuk disimpan.

Moga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman; Haji Ghazali, Managing Director.

Masih terngiang ayat pertama arwah masa melawatnya di ICU,

“Macam mana preve merah? Ok bawak?” tanya tuan

“Ok je tuan, terima kasih alhamdulillah” balas aku tersenyum

Masih menjaga kebajikan staf walaupun kesihatan tak sempurna.

Allah. Sekelip mata. Bergenang air mata.

Kita hanya pinjaman sahaja di sini, yang kekal hanya di sana selamanya

Kita memang sempurna

Standard

Sambil tangan menyuap nasi goreng orang rumah masak, sambil mata ni menjeling kaca tv; aaron aziz berlakon.

“Apa lagi yang tak sempurna pada diri saya ni abang?” bentak bini Aaron Aziz

“Memang saya nak kahwin lain, perasaan saya pada awak dah tak ada” balas Aaron Aziz

Aku cucuk telur kuning, jari ku calit pada kicap di pinggan. Terus masuk ke mulut. Manis.

Aku habiskan suapan nasi terakhir kemudian aku terfikir, sempurnakah kita sebenarnya? Ya, kita sempurna, ciptaan Allah yang sempurna. Tiada cacat cela pada-Nya.

Orang bercakap,

“Untung la dia anak Dato”

“Duit banyak dia tu, nak apa semua dapat”

“Lawanya dia, dah la kaya – untung laki yang dapat dia; perfect!”

Kita memang tak sedar akan ada orang lain yang mahu jadi macam kita walaupun kita tak kaya, kita tak lawa, kita keturunan biasa-biasa saja. Tapi tiap-tiap apa yang kita ada, ada manusia lain yang tak ada. Dan apa yang orang lain ada, kita tak ada.

Aku celup tangan pada mangkuk air suam, bersihkan sisa minyak. Alhamdulillah, nasi goreng awak memang sedap hehe.

Kemudian aku terfikir,

Semuanya mahu jadi sempurna sampai kita lupa, kita semuanya sempurna pada pandangan manusia di sekeliling kita, tidak pada mata kita.

Kita sememangnya sempurna.

Sudah sampai masanya

Standard

Dah sediakah aku?

Aku tarik nafas dalam-dalam dan hembus. Kosong perasaan. Selangkah dah maju tak akan berundur. Ya, aku memang dah sedia.
Sedia untuk masuk fasa baru, dunia baru, suasana baru, dan tanggungjawab baru; berat.

Bagi aku orang tak akan sedia selagi dia tak melangkah. Selagi tak terlintas bermakna tiada persediaan untuk apa pun. Sekali dah melintas dalam fikiran, yang membezakan hanyalah kuat atau lemah nak hadap.

Bukan mudah bila dah dalam zon selesa hidup berhuhahuha dengan kawan tiba-tiba sedebuk tanggungjawab kita nak hadap. Tak senang bro nak jaga anak orang. Anak orang yang ayah ibu keluarganya jaga, tanang, belai penuh kasih sayang; kita nak ambil alih – berat bro. Tapi itulah, berat lagi nak move on keluar dari hidup bujang.

Berat berat.

Mana tak berat kalau dah hidup lama bersama sudah satu dekad, luar dalam kenal walaupun kadangkala samar-samar tapi makan semeja, tidur sebantal, satu game, satu politeknik, satu universiti, satu rumah sewa – semua buat tambah erat.

Aku pasti ini satu permulaan besar untuk pengakhiran kecil.

Jadi, kemana kita lepas ni?