Satu hari itu aku ke bank untuk mengeluarkan duit. Duit untuk keperluan seharian. Keluarkan secukupnya untuk tampung seminggu dua; tak perlu sebulan dua untuk saratkan poket aku dengan duit.
Di pintu bank kelihatan dua tiga orang budak berkeliaran memegang kepingan kertas cetakan ayat Quran (agak2) dan menggalas beg kusam. Melihat saja ada orang yang keluar dari pintu bank, terus mereka bergegas segera menuju sambil membetulkan songkok berhabuk.
“Pakcik, kami dari Maahad nak minta sumbangan sedikit untuk pembinaan bangunan kami…” dan terus bercakap seperti menghafal sepotong skrip oleh orang tertentu. Percakapan mereka sama saja untuk orang-orang lain.
Aku perhatikan saja gelagat mereka sambil meneruskan urusan aku di mesin ATM. Usai saja urusan terus aku keluar dan sudah diagak sorang budak perempuan datang dan berdialog sama seperti budak lelaki yang aku lihat tadi. Aku hanya tersenyum dan bergegas masuk ke dalam kereta. Sindiket. Aku tahu. Mereka ini diperalatkan pihak yang menggunakan nama agama untuk mencari ‘sumbangan’ untuk menyara perut tak berperikemanusian.
Didalam kereta, aku memanggil kembali budak perempuan tersebut dan bertanya sedikit soalan.
“Dari mana dik?” – aku
“Dari Maahad blablabla Sg Petani bang” – dia
“Mana cikgu?” – aku
“Errmm…tatau, nanti dia datang” – dia
Aku hanya tersenyum dan menghulurkan sedikit not.
“Adik simpan duit ni, pakai untuk diri sendiri, jangan bagi orang” kata aku sambil menolak barangan yang mahu diberinya.
“Terima kasih bang” dia
…
Kekadang aku tak faham kenapa ada pihak yang sanggup menggunakan budak-budak yang sepatutnya diletakkan di sekolah pada siang hari ini untuk meneruskan pembelajaran untuk masa hadapan. Apakah mereka ini anak-anak yatim piatu yang dijaga oleh pihak tertentu tetapi disalahgunakan kewujudan mereka?
Sayu.